TARIAN LIMBAI
Suku kaum bajau terkenal dengan kehebatan mereka untuk menarikan tarian tradisi mereka iaitu tarian limbai. Masyarakat bajau di Kota Belud Sabah dikenali sebagai “Bajau Koboi” kerana terkenal dengan aktiviti menunggang kuda. Tambahan lagi, kuda yang mereka tunggang akan dihiaskan dengan pakaian kuda yang dijahit khas dengan kain dan warna yang sangat menarik. Hal ini demikian kerana mengikut kepercayaan kaum bajau, semangat pahlawan telah masuk ke dalam tubuh kuda suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, semangat yang telah masuk ke dalam tubuh kuda tersebut menjadi penyelamat mereka dari malapetaka yang menimpa mereka pada ketika itu. Sejak daripada itu, kuda berhias akan mengiringi perarakan perkhawinan bagi suku kaum bajau di Kota Belud. Lantas, tarian limbai akan ditarikan sebagai simbolik untuk menyambut pengantin lelaki yang diarak.
Tarian limbai mempunyai keunikan dari segi cara mempersembahkannya. Tarian ini ditarikan semasa upacara perkhawinan dan keramaian dilangsungkan. Gerakan tarian ini simbolik kepada lambaian untuk menyambut kehadiran pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan lelaki sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, perarakan akan dihentikan untuk memberi peluang kepada para penari untuk menari di hadapan pengantin lelaki. Semasa menarikan tarian ini, para penari akan melambai-lambaikan selendang mereka sebagai tanda untuk menjemput pengantin naik ke dalam rumah bagi menyempurnakan upacara istiadat ijab Kabul yakni pernikahan.
Tambahan lagi, tarian limbai ini diiringi dengan alat muzik yang dipanggil Tetawak ataupun Kulintangan. Alatan ini kelihatan seperti gong dan setiap gong mempunyai bunyi yang berbeza. Sebagai contoh, gong yang kecil akan menghasilkan bunyi yang lebih kecil sementara gong yang besar akan menghasilkan bunyi yang lebih kuat. Alatan inilah yang membuatkan tarian ini lebih menarik dan kelihatan sangat lemah gemalai. Namun, rentak muzik tarian ini boleh diubah menjadi lebih cepat dan penari harus menari mengikut rentak yang dimainkan. Kebiasaannya, alat muzik ini akan dimainkan oleh orang-orang yang lebih tua kerana mereka dianggap lebih mahir dan berpengalaman.
Semasa tarian ini ditarikan, penari akan memakai pakaian tradisional khas suku kaum bajau. Pakaian tersebut dinamakan Serimpak yang membawa maksud lemah lembut, sopan santun dan berbudi bahasa. Pakaian ini termasuklah blaus lengan panjang dan skirt panjang. Selain itu, pakaian ini turut dihiaskan dengan manik-manik pelbagai bentuk dan warna. Pakaian ini akan kelihatan lebih menyerlah dan cantik apabila dipakai lengkap bersama tali pinggang besi, gelang pada kaki dan tangan, serta Timpak iaitu hiasan kepala bagi wanita. Berbeza bagi pakaian perempuan, pakaian lelaki sangat ringkas dan bersahaja. Antara kelengkapan bagi lelaki ialah baju blaus panjang, seluar panjang, samping dan tengkolok. Kain untuk membuat pakaian ini ialah kain satin dan hanya dijahit oleh orang-orang yang berpengalaman dalam suku kaum bajau.
Tarian limbai juga terkenal dengan kelemah-lembutan dan keayuan dalam gerakannya. Justeru, penari perempuanlah yang selalu menjadi penari untuk tarian ini. Hal ini demikian kerana golongan wanita mempunyai ciri-ciri kelemah-lembutan tersebut dan mampu untuk membuatkan tarian tersebut kelihatan lebih menarik. Namun, bukan golongan perempuan sahaja yang boleh menarikan tarian ini, golongan lelaki juga mempunyai langkah dan gerak yang diatur untuk menari bersama pasangan perempuan mereka. Sebagai contoh, pengantin lelaki akan menari bersama pengantin perempuan semasa upacara perkhawinan sedang berlangsung. Perkara ini menjadi simbolik kepada upacara perkhawinan yang telah rasmi diantara pihak lelaki dan perempuan. Gerak langkah pihak lelaki menunjukkan dia sedang dilamun cinta dengan memulaskan pergelanggan tangannya di udara. Sementara pengantin perempuan akan melambai-lambaikan selendangnya ke kiri dan ke kanan sebagai tanda dia sudah bersuami.
Selain itu, tarian limbai ini juga dinilai melalui gerakannya yang lemah gemalai mengikut alunan bunyi gong. Gerakan asas untuk tarian ini ialah melambai-lambaikan tangan di udara sambil bergerak ke kiri dan ke kanan. Bagi golongan lelaki pula, mereka akan memulaskan pergelangan tangan mereka di udara sambil bergerak ke hadapan dan ke belakang. Penari lelaki dan perempuan akan menari serentak diikuti dengan muzik yang dimainkan. Tarian ini akan kelihatan lebih menarik jika ditarikan oleh 10 orang penari iaitu lima orang lelaki dan lima orang perempuan. Tarian limbai ini juga akan lebih menyerlah sekiranya semua penari memakai pakaian lengkap suku kaum bajau iaitu Sarimpak. Sekiranya tarian ini ditarikan secara berpasangan di antara lelaki dan perempuan, keserasian dari segi ketinggian penari juga perlu dinilai. Jika penari perempuan seorang yang tinggi, maka penari lelaki haruslah memiliki ketinggian melebihi ketinggian penari perempuan itu. Dengan itu, tiada sebarang kecacatan yang akan dilihat semasa persembahan itu berlangsung.
Kesimpulannya, tarian limbai ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Nilai estetika yang wujud dalam tarian ini sungguh tinggi dan sangat menarik. Generasi suku kaum bajau pada masa kini seharusnya berusaha untuk memelihara tradisi yang masih wujud ini.
thnkz 4r in4 :D
ReplyDeleteBoleh saya tahu siapa pengasas tarian ini?
ReplyDelete